MIMPI BUSRO AKIBAT TIDUR TAK BASUH KAKI

Jumaat, 22 Oktober 2010

Dari Blog Roslan SMS :-

Para perwakilan di Perhimpunan Agung Umno sedang sibuk membahaskan ucapan dasar Presiden mereka. Lazimnya siapa yang mendapat peluang bercakap akan menggunakan sebaik mungkin peluang itu untuk menarik perhatian para pimpinan. Moga-moga adalah harapan ia naik ke atas lantaran puji dan puja yang diberikan kepada pimpinan. Kalau belum jadi calon boleh jadi calon kalau belum jadi menteri boleh jadi menteri syaratnya kipaslah sekuat-kuat kipas.

Ramai-ramai perwakilan yang berucap semalam sata tertarik dengan ucapan wakil dari negeri yang Umno tak memerintah iaitu Selangor. Selangor semalam diwakil ADUN Paya Jaras yang juga Ketua Umno Subang, Mohd Bushro Mat Johor.

Untuk menarik perhatian pimpinan dan para perwakilan Bushro menyulamkan perbahasannya dengan anologi mimpi.

Dalam mimpi ini saya menaiki kereta buatan nasionaldan apabila tiba di satu persimpangan kenderaan saya dihalang oleh sekumpulan besar binatang, saya ingatkan kambing tetapi rupa-rupanya ia adalah babi yang tidak terkira banyaknya.

Perjalanan kemudian diteruskan lagi saya pandang kiri dan kanan banyak sekali rumah-rumah urut manakala apabila tiba di perkampungan Melayu saya mahu menghilangkan dahaga tetapi yang dijual bukan sahaja air mineral tetapi arak.

Begitulah kira-kira ucapan Bushro konon nak menggambarkan betapa teruknya Selangor kini di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Seolah babi berleluasa diternak, seolah rumah urut dilesenkan merata-rata seolah arak dijual berleluasa sehingga ke kampong-kampung Melayu.

Dalam erti kata lain kembalilah pada Umno, Selangor akan bersih dan selamat.

Membaca laporan tentang ucapan Bushro itu saya juga turut mahu mengelamun:

Dalam lamunan saya, saya menumpang kereta kawan kerana minyak terlalu mahal, tol bersepah-sepah tak mampu nak menanggungnya apa lagi beli kereta sendiri, bonus pun tak dapat. Tiba dipersimpangan terserempak dengan deretan rumah kos murah yang rata-rata didiami orang Melayu, walau pemimpin Umno menghambat orang Melayu jadio global dan glokal, orang Melayu masih bertenggek di rumah-rumah kos murah sahaja.

Tiba-tiba juga saya ternampak dicelah deretan rumah kos murah untuk orang miskin itu, tersergam mahligai indah tiga tingkat bagaikan istana, malah mengalahkan Istana Mestika di Shah Alam. Kata orang ini istana bekas ADUN Umno, naik sedikti sampai ke Seksyen 7 Shah Alam tersergam pula istana lain katanya juga milik bekas pemimpin nombor satu Selangor. Orang kampong bergelut berpuluh tahun di sawah, dikebun, dilaut mencari rezeki pemimpin ku yang hebat tak sampai dua penggal boleh bina istana berpuluh juta ringgit.

Saya kemudian ke Lapangan Terbang Subang, manalah tahu boleh dapat tiket murah dari penerbangan bajet. Nak bawa keluarga bercuti, destinasi tempatan pun tak mengapa. Saya diberitahu ada pemimpin Umno bekas ketua negeri semasa berkuasa dulu berbelanja lebih RM300 ribu dengan isteri anak dan kroninya ke Disneyland guna wang anak syarikat kerajaan negeri walau syarikat tersebut sedang menanggung kerugian.

Saya tekan ATM di lapangan terbang itu nak keluarkan saki baki duit simpanan saya. Saya diberitahu ada bekas MB Umno tak perlu tekan-tekan diusungnya berpuluh kilo wang tunai berbagai matawang sehingga ditangkap oleh pihak berkuasa Australia, aduhai hebatnya pemimpin Umno ku.

Bila berjalan keluar, saya tersepak batu, ahhhh rupanya saya bukan bermimpi macam Bushro, ini kenyataan, ini jenayah Umno pada rakyat Selangor selama mereka memerintah dulu. Meninggalkan pemimpin kecil seperti Bushro demam dan mimpi yang bukan-bukan sedangkan hakikatnya jembalang dan mambang adalah dari bikinan tangan Umno sendiri bukan orang lain.

Itulah Bushro, kata orang tua-tua kalau nak tidur kena cuci kaki terlebih dahulu, tengok akibatnya kan dah mimpi yang bukan-bukan!

KEPENTINGAN MELAYU MANA DIJAGA?

Khamis, 21 Oktober 2010

Terima kasih Tuan Yang Di-Pertua memberi peluang untuk berbahas usul menjunjung kasih terhadap titah Baginda Yang Di-Pertuan Agung.


Pada Mac 16, dalam ucapan YB Kuala Krau, usaha [untuk] liberalisasikan ekonomi dibangkit. YB Kuala Krau telah memohon pada kerajaan agar kepentingan orang Melayu tidak diketepikan dalam perlaksanaan polisi liberalisasi ekonomi.


Saya ingin sokong permohonan YB Kuala Krau. Kepentingan orang Melayu harus diberi keutamaan dalam mana-mana polisi kerajaan kerana kaum 62% Melayu memperolehi pendapatan di bawah RM3,000 sebulan. 62% daripada keluarga Melayu miskin dan adalah begitu penting - kepentingan golongan ini diberi keutamaan. Mana-mana polisi yang membawa kesan negatif pada masyarakat Melayu yang berpendapatan rendah harus ditolak. Apa gunanya pembangunaan ekonomi negara jika ia membawa tekanan pada majoriti dalam negara itu. Lebih baik buang polisi macam itu terus ke tong sampah.


Tuan Yang Di-Pertua, isu kepentingan Melayu telah mengambil 'centrestage' dalam politik Malaysia sejak sebelum Merdeka. Dalam Perlembagaan kita, Perkara 153 telah menyatakan adalah menjadi tanggungjawab Yang Di Pertuan Agung memelihara kedudukan istimewa orang Melayu. Pada saya, hasrat di belakang Perkara 153 adalah munsabah, walaupun kita boleh berbeza pemikiran terhadap pembentukan polisi-polisi untuk membangunkan masyarakat Melayu.


Munasabah kerana apabila kita lihat sejarah moden dunia, dalam 500 tahun yang lalu suatu ekonomi baru telah menimbul di benua Eropah dan merebak ke seluruh dunia dan menembusi semua benua, semua rantau. Perkembangan aktiviti ekonomi baru telah membawa penghijarahan berjuta-juta manusia daripada negara-negara asal mereka ke negara baru.


  • Orang putih telah pergi ke Amerika, Afrika, Asia dan Australia
  • Orang Afrika dibawa sebagai hamba ke Amerika dan Eropah
  • Orang India dan Cina datang ke Asia Tengara sebagai kuli
Kadangkala apabila penghijrahan berlaku, penduduk asal dipinggirkan dan dijadikan rakyat kelas dua di negara mereka sendiri. Masyarakat Inca umpamanya. Apabila Cortez membawa pasukan militer ke Amerika Latin, masyarakat Inca merupakan satu empayar besar dengan system pertanian yang teratur dan masyarakat yang kaya. Tetapi masyarakat Inca ditewaskan dan dijadikan hamba dan dibawa kerja di lombong-lombong perak. Beribu-ribu mati.


Akhirnya apabila Latin Amerika dapat kemerdekaan, bukan keturunan kaum Inca yang menguasai negara-negara merdeka itu. Orang putih keturunan penjajah yang menjadi pemimpin negara-negara tersebut, dan orang Inca masih rakyat kelas ketiga di negara mereka sampai hari ini.


Perkara yang hampir sama berlaku dengan Maori di New Zealand dan kaum aborigine di Australia. Dan di Afrika Selatan, kaum orang putih telah dapat menguasai negara itu untuk beberapa dekad dan menjadikan orang asal rakyat kelas kedua di bawah system apartheid.
Oleh kerana ke semua ini, saya boleh memahami mengapa masyarakat Melayu telah mendesak supaya kepentingan orang Melayu dimaktubkan dalam perlembagaan negara ini sebagai Perkara 153. Perasaan risau dan bimbang mereka pada masa itu bukan satu khayalan yang tidak berasas.


Tuan Yang Di-Pertua, saya juga setuju dengan point yang dibawa oleh YB Pasir Salak dalam pencelahan beliau semasa ucapan ketua pembangkang - Pasir Salak telah berhujah bahawa kerajaan BN telah mencapai banyak dan bahawa kita tidak harus pandang rendah terhadap pencapaian Umno-BN.


Saya setuju kerana pada 1957 kerajaan Malaya dikuasai orang putih. Tetapi dalam 52 tahun yang lalu, hampir semua jabatan dalam jentera kerajaan diketuai oleh orang Melayu. Ketua pengarah, ketua setiausaha, pengarah-pengarah kanan -- hampir semuanya Melayu.


Dari segi agenda Melayu, ini satu pencapaian yang besar. Jentera kerajaan di tangan Melayu.


Dan ini bukan suatu kerjaan yang kecil atau lemah. Bajet kerajaan persekutuan untuk tahun 2010 - RM196 bilion. Ini merupakan satu-pertiga keluaran kasar dalam negeri. Kerajaan kita yang ada pengaruh besar [terhadap] ekonomi negara. Dan kerajaan ini 'solid' di tangan Melayu


Pada 1957, adalah analisa bahawa Melayu miskin kerana syarikat-syarikat besar orang putih yang menguasai sector moden di Malaya -- perladangan pembankan, perlombongan, pembinaan. Dalam 50 tahun yang lalu sebahagian besar daripada sektor korporat telah pindah ke tangan kaum Melayu. Pemilikan ekuiti di sektor korporat oleh individu Melayu dilaporkan sebagai 18% pada masa ini.


Tetapi dalam sektor korporat penguasaan/control adalah juga penting. Isu pengambilan pekerja, promosi untuk kakitangan, pemberian kontrak dan keputusan pelaburan. Kesemua ini di tangan eksekutif kanan.


Dulu syarikat-syarikat saperti Guthrie, Highland and Lowland, dan Golden Hope yang dimiliki orang putih menguasai sektor perladangan di Malaysia. Sekarang Sime Darby memegang tanah perladangan seluas 600,000 ekar di Malaysia. Siapakah pengerusi besar lembaga Sime Darby; siapakah CEO Sime Darby, siapakah pengarah-pengarah kanan di Sime Darby? Bukan orang putih, bukan Cina, bukan orang India. Hampir semuanya orang Melayu.


Dan sama juga untuk syarikat-syarikat GLC yang lain -- KPJ, Pantai, Gamuda, PLUS, MAS, CIMB, KTMB, Petronas. Walaupun pemilikan bukan di tangan individu Melayu, tetapi lembaganya dan posisi utama seperti CEO, Pengerusi Lembaga semua di tangan Melayu.


Kita harus ucapkan syabas pada Umno. Ini adalah kejayaan polisi Umno - telah mencapai sebahagian besar daripada agenda Melayu.



  • Jentera kerajaan dalam tangan Melayu

  • GLC - yang menguasai beberapa sektor juga di tangan Melayu

  • Hampir 60% daripada KNK dikuasai oleh pihak Melayu

Permasalahannya adalah masih ada kemiskinan di [kalangan] masyarakat Melayu. Walaupun agenda Melayu sedang dicapai, masih Melayu biasa menghadapi banyak masalah.


Di Sungai Siput, ada pelajar Melayu yang tercicir kerana tidak dapat bayar tambang bas sekolah. Di PPMS, suatu kampung dengan 85 isi keluarga, 14 orang murid sekolah menengah telah cicir kerana tidak dapat bayar tambang bas sebanyak RM50 sebulan.


Di kawasan perkampungan Sg Siput, berpuluh-puluh keluarga Melayu desa yang tidak dapat bayar bil air sebanyak RM20 sebulan sehingga bekalan air ke rumah dipotong. Bil elektrik keluar atas kertas merah untuk berpuluh-puluh keluarga Melayu.


Mengapa wujudnya kemiskinan begini banyak di kalangan masyarakat Melayu 52 tahun selepas Merdeka? Tidak boleh menyalahkan orang putih lagi. Tidak boleh menyalahkan pihak orang tengah Cina juga. Itu cerita lama.

Daripada statistik kerajaan sendiri, kita ketahui bahawa 62% daripada keluarga Melayu mendapat pendapatan bulanan di bawah RM3,000. Mereka adalah petani, penoreh getah, nelayan, pekerja kilang, peniaga kecil dan juga pekerja biasa di kerajaan. Mereka boleh dipanggil Melayu Marhaen -- satu istilah yang dicipta oleh Allahyarham Soekarno.

34% daripada keluarga Melayu perolehi pendapatan antara RM3,000 ke RM10,000. Mereka merupakan pegawai kerajaan dan di GLC, dan juga kontraktor dan peniaga kecil.

Hanya 2.8% daripada keluarga Melayu berpendapatan antara RM10,000 dan RM20,000 dan mereka adalah pegawai-pegawai tinggi di GLC, peniaga dan kontraktor besar dan juga para professional di sektor swasta. Hanya segelintir kecil keluarga Melayu, 0.5% sahaja yang menerima pendapatan yang lebih daripada RM20,000, dan kebanyakan mereka merupakan kaum korporat dan pegawai tertinggi dalam GLC dan kerajaan.

Jadi ada empat golongan dalam masyarakat Melayu -- Melayu Marhaen, kakitangan kerajaan dan GLC, kontrakor dan 'businessmen', dan Melayu korporat.

Dalam konteks ini apabila Ahli Parlimen sebut kepentingan Melayu, apakah maknanya?

Apakah dia kepentingan orang Melayu? Adakah kepentingan semua lapisan masyarakat Melayu sama?

Adakah situasi di mana kepentingan lapisan [kelas] bertentangan?

Di kawasan saya, Sg Siput ada sebuah kampung dinamakan Kg Temin.

Suatu skim TSK (Tanaman Semula Kelompok) telah berlangsung di kampung ini. Risda telah memberi [projek] pada seorang kontraktor Melayu. Sebahagian telah dilakukan. Pokok lama telah ditebang tetapi pokok baru belum ditanam. Dan sudah beberapa bulan sekarang. Apabila pekebun membuat aduan kepada Risda, [badan tersebut memberitahu] peruntukan telah dikeluarkan.

Suatu lagi kes adalah Perlop I di mana 43 peserta telah membuat perjanjian dengan koperasi Risda untuk tanaman semula dengan kelapa sawit. Koperasi telah memakai tanah sebagai cagaran untuk buat pinjaman. Sekarang sudah 10 tahun. Langsung tiada kerja tanaman semula. Cukai tanah juga tidak dibayar. Duit pinjaman ke mana - berapakah jumlahnya?

Dalam kes-kes ini jelas bahawa kepentingan Melayu Marhaen dijejas oleh aktiviti kontraktor Melayu yang cari untung besar tanpa melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan. Bila berlakunya percanggahan antara dua golongan Melayu, apakah pendirian Ahli Parlimen Umno? YB menyokong pihak mana - Melayu Marhaen ataupun kontraktor Melayu?

Marilah kita meninjau perhubungan antara kepentingan Melayu korporat dan kepentingan Melayu Marhein.

Kerajaan kita sedang menggalakkan pelancongan 'kesihatan'. Ini akan membawa untung besar pada GLC-GLC yang menguasai hospital swasta - Pantai, Sime Darby, KPJ, Petronas dll akan mengaut untung besar. Melayu korporat tentu rasa seronok apabila untung korporat mereka meningkat. Tetapi perkembangan business di hospital swasta ekoran 'health tourism' ini akan [mengakibatkan] penghijarahan keluar doctor pakar daripada hospital kerajaan. Kesihatan dan kebajikan Melayu Marhaen yang bergantung pada hospital kerajaan untuk rawatan terjejas.

Jadi, dalam hal ini - pelancongan kesihatan - kepentingan siapa dimajukan dan kepentingan siapa dipinggirkan?

Cukai GST adalah satu contoh lagi. Adalah hasrat kerajaan untuk mengurangkan cukai terhadap korporat. Dulu, dalam tahun 1988 cukai korporat adalah 40% daripada untung syarikat. Sekarang telah turun ke 26%. Tetapi kerajaan mahu turunkannya lagi - Singapura hanya ada cukai korporat sebanyak 19%.

Tetapi cukai GST pula akan membebankan Melayu Marhaen. Kos hidup akan meningkat.
Jadi, apabila ada percanggahan antara kepenting Melayu Marhaen dan kepentingan Melayu korporat, apakah pendirian Ahli Parliamen Umno?

Isu-isu pokok untuk Melayu Marhein adalah:

- Ketiadaan tanah dan pengangguran di peringkat kampung
- Gaji rendah di kilang
- Peruntukan bantuan seperti untuk tanaman semula yang di-'hijack' [dikebas] oleh kontraktor
- Penswastaan kemudahaan asas yang meningkatkan kos
- Pendidikan tinggi yang mahal tetapi tidak berkualiti
- Kualiti rawatan yang sedang merosot di hospital kerajaan

Tetapi selepas YB Kuala Krau memohon pada kerajaan untuk jangan mengenepikan kepentingan orang Melayu, beliau terus pohon agar sasaran equity Melayu harus ditingkatkan ke 60% dan bukan 30%. Saya keliru. Bagaimanakah peningkatan ekuiti Melayu korporat akan membantu kawan-kawan saya di Kg Termin? Bagaimanakah Melayu Marhaen akan dapat faedah daripada polisi seperti ini?

Saya rasa kita semua mesti lebih 'clear' [jelas] dalam pemikiran dan analisa kita. Adakah situasi di mana kepentingan Melayu Marhaen berbeza ataupun bercanggah dengan kepentingan kategori lain di masyarakat Melayu? Ini suatu persoalan pokok.

Jika ya, kategori mana yang harus disokong oleh Ahli-ahli Parlimen. Melayu Marhaen ataupun Melayu korporat? Inilah persoalannya.

Dengan ini, saya pohon menyokong usul yang dibawa oleh YB Kuala Krau.

Terima kasih Yg Di Pertua.

* Dr Jeyakumar Devaraj ialah Ahli Parlimen mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Sungai Siput, Perak. Ucapan di atas adalah perbahasan beliau pada Mac 24, 2010 dalam sidang Dewan Rakyat terhadap titah Baginda Yang Di-Pertuan Agung.

 
 
 

Mahu maklumat berkenaan tafsir Al-Quran, Sila klik banner dibawah untuk maklumat lanjut