Terkini:
Setelah sehari artikel ini diterbitkan, alhamdulillah, terdapatlah beberapa orang ustaz telah bersama dan telah kembali bersama-sama aktif didalam jemaah walaupun kami yakin mereka tidak pun membaca artikel ini. Kami dari jemaah PAS cawangan Rasa berasa bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan rahmatNya, maka hajat kami agar para ustaz bersama dengan jemaah termakbul.
------------------------------------------------------------------------------------------------
PAS Cawangan Rasa adalah satu cawangan yang kecil yang hanya mempunyai lebih kurang 60 lebih ahli dan yang aktifnya kurang daripada 20 ahli daripada lebih kurang bertanggungjawab kepada 4000 pengundi bagi 4 Unit Peti Undi (UPU).
Kami tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membuat sesuatu program tanpa meminta infa' terlebih dahulu daripada ahli namun apa-apa program yang hendak kami lakukan, walaupun 'adhoc', namun ia tetap berjaya kerana komitmen lebih kurang 20 ahli yang aktif tadi.
Ini tidak menjadi masalah kepada kami sebenarnya, kami tidak mempunyai masalah kurang ahli untuk melaksanakan tugas dakwah kepada penduduk Rasa, kami tiada masalah kewangan untuk menjalankan sesuatu program atau aktiviti, tetapi masalah yang kami hadapi adalah kekurangan USTAZ-USTAZ yang memberanikan diri untuk bersama-sama berjihad di dalam jemaah Islam PAS di Rasa ini.
PAS Cawangan sebenarnya tidak tahu apakah sebenarnya yang menyebabkan mereka begitu liat untuk bersama-sama dengan jemaah? Adakah mereka terlalu sibuk? Adakah mereka takut? Atau adakah mereka tidak yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS itu sendiri?
Kebanyakan ustaz-ustaz akan mengatakan bahawa alasan mereka untuk tidak bersama-sama dengan jemaah adalah kerana JQOF, kerja dengan kerajaan dan sibuk mengajar. Tiga alasan ini adalah satu alasan yang selalu bermain ditelinga kami apabila kami memohon agar para ustaz-ustaz aktif bersama jemaah.
Sepatutnya, ketika inilah, ketika kerajaan negeri Selangor dan JAIS sedang dipegang oleh jemaah Islam, pada ketika inilah para ustaz mesti WAJIB bersama-sama dengan jemaah secara aktif. Ketika inilah para ustaz mesti turun berjuang dimedan politik sebagai medan dakwah agar akidah umat Melayu Islam berpegang teguh kepada Islam yang syumul, bukan kepada firasat nasionalis.
Pada ketika inilah sepatutnya para ustaz mengemblengkan usaha-usaha dakwah melalui jemaah agar Islam dan kehidupan harian penduduk Rasa disatukan seperti aur dengan tebing. Pada ketika inilah para ustaz perlu berkorban wang dan masa untuk berdakwah kepada umat manusia agar kembali kepada Islam melalui jemaah Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Pada ketika inilah, jika PAS cawangan menjemput para ustaz agar memberi ceramah berkenaan Daulah Islamiyah dan keKhalifahan Islam, para ustaz tidak akan memberi seribu alasan untuk menolak jemputan kerana takut dipantau SB.
Pada ketika inilah, sepatutnya, para ustazlah yang memimpin dan membimbing kami di dalam jemaah PAS cawangan Rasa agar menjadi sebuah cawangan yang benar-benar berjalan dilandasan dakwah Islam. Para ustazlah yang sepatutnya menjadi pemimpin kami di dalam PAS Cawangan Rasa ini.
S.U