KENAPA UMNO PERTAHANKAN SANGAT APCO NI?

Rabu, 31 Mac 2010

Khairy Bermatian Pertahan Apco Kerana Kawan Baik Omar Mustapha Ong?
Oleh Jamilah Kamarudin KUALA LUMPUR 30 Mac -

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang cuba menggaitkan beliau dengan pegawai tinggi Apco Worldwide sebagai satu usaha mengalihkan persoalan sebenar yang membabitkan keselamatan negara.

Sambil menyifatkan dakwaan Khairy sebagai sebagai tidak berasas, Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang cuba melarikan diri daripada berbincang perkara pokok berhubung Apco.

"Saya kenal Khairy, saya juga kenal Najib, saya kenal Muhyiddin, jadi isunya apa? "Isunya sekarang Apco memainkan peranan dalam kerajaan Malaysia dan pimpinan kerajaan Malaysia. Soal saya hadir dalam persidangan dengan orang Israel sebanarnya ramai juga hadir dalam persidangan termasuk dengan tokoh ulama Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, begitu juga saya hadir dalam persidangan persatuan Hindu, Kristian dan sebagainya, itu bukan isu. "

Isunya sekarang Khairy cuba nak lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha Ong dengan syarikat Ethos yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Soal siapa kenal siapa tak penting kerana yang menjadi persoalan utamanya adalah menggunakan kepakaran Israel yang mendedahkan rahsia keselamatan dan strategi negara kepada bahaya. "Tiada negara yang berbuat demikian melainkan anda sangat terdesak," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi. Khairy dan Omar Mustapha Ong dikatakan mempunyai hubungan persahabatan yang rapat.

Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang selama ini bertanggungjawab menjadi wakil 'jurucakap' mempertahankan tindakan bagi pihak Apco di Parlimen. "Kenapa Khairy bertanggungjawab menjawab kepada pihak Apco. Ini sangat meragukan. Anda merujuk kepada soal keselamatan negara dan Perdana Menteri yang sepatutnya jawab isu ini. Khairy bukan sebahagian daripada kerajaan, dia hanya Ketua Pemuda Umno. Saya minta kerajaan beri penjelasan bukan dia, kenapa dia beriya sangat nak pertahankan Apco?," katanya.

Beliau turut menyelar dakwaan fitnah Khairy yang mengatakan ini hanyalah cubaannya untuk mengalih pandangan rakyat kepada krisis parti KEADILAN yang kini dikatakan bermasalah.

"Bukan saya yang minta dan mengarahkan untuk membuka isu ini. Saya diarah oleh Speaker. Jika saya tolak untuk jawab saya akan didakwa. Ini bukan nak alih pandangan, ini helah kerajaan nak tekan saya tapi saya bangkit dan kemukakan fakta mengenai perisikan tentera Israel dalam seluruh jentera kita disini. Mereka ingat saya tidak ada bahan tapi mereka silap besar," katanya," tegas Ketua Pembangkang itu.

Anwar juga menggesa supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara dan mampu mengeruhkan hubungan dengan negara Islam lain.

"Pemimpin Pakatan Rakyat yang lain mencapai kata sepakat agar usul menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan dan kita akan kemukakan usul itu kemudian," katanya.
------------------------------------------------------------------

Komen PAS Cawangan :

Dahulu kata Anwar Agen Yahudi, tengok-tengok, BN le kepala sekutu dengan Israel Zionis. Bukan setakat sekutu, siap minta nasihat dan tunjuk ajar lagi dengan Israel Zionis. Apa cerita Umno BN?????

Kata-kata Ketua Pembangkang didalam isu APCO ini didalam dewan Parlimen boleh dirujuk disini : http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=3633

PIBG: MUHYIDDIN BUKTIKAN KERAJAAN BN PEKAK, ANGKUH.

PIBG: Muhyiddin buktikan kerajaan pekak, angkuh
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.

Ini ekoran di Parlimen semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.

Katanya, pandangan itu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga dan bersikap angkuh.

“PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibu bapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, katanya PIBG berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.

Sepatutnya, kata beliau pihak Kementerian Pelajaran menjadikan PIBG rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.

Menurutnya, mesyuarat dan konvensyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara di samping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah.

“Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, di manakah mereka ingin membawa pandangan mereka kerana tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti politik. Jadi, apa salahnya mereka menggunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan,” katanya lagi.

Secara sinis, katanya PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan kerajaan BN kepada rakyat.

Tambahnya, BN hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik.

“Kalau orang politik sekalipun, apabila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan, bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikkan ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG,” ujarnya.

Justeru, ujarnya PAS menawarkan kepada semua PIBG di negara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka.

Beliau menambah, PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang Dun.

“Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.

“PAS yakin rakyat akan memilih kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihan raya akan datang dan Pakatan Rakyat bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

BETUL KE MAT TAIB NI....?

Selasa, 30 Mac 2010

Muhyidin tolak Muhamad Taib sebagai calon BN Hulu Selangor
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin secara lembut menolak cadangan agar Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib dicalonkan Umno sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor."Saya tak fikir Muhamad Mohd Taib setuju," kata Muhyidin ketika ditanya wartawan tentang cadangan Umno Hulu Selangor agar bekas MB Selangor itu dipilih sebagai calon BN.

Muhamad adalah bekas Adun Batang Kali, salah satu DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor. Umno Hulu Selangor mencadangkan beliau dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil kawasan itu nanti.Mereka yakin, jika Muhamad dipilih, BN akan menang mudah sebagaimana rekod yang ditunjukkan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai calon.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu masih yakin kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diperuntukkan kepada wakil parti itu walaupun Umno terus menggesa agar ia diserahkan kembali kepada parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.“Saya berharap begitu, berharap MIC akan dibolehkan bertanding lagi di Hulu Selangor dan kekal pada tradisi yang telah pun dipersetujui selama ini,” kata Samy Vellu (gambar) ketika dihubungi laman web The Malaysian Insider hari ini.

PKR pula sedang mempertimbangkan lima nama yang telah disyorkan untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.“Kami ada terima tiga hingga lima nama. Pucuk kepimpinan akan mempertimbangkan nama-nama ini,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh.

Nama yang disebut-sebut ialah Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Cabang Kelan Jaya Syed Shahir Syed Mohamud yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ketua Cabang Sabak Bernam Badrul Amin, peguam dan akitivis N. Surendran dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Zaid Ibrahim.

Sebelum ini, Harakahdaily menyiarkan tulisan Ketua Pengarangnya, Zulkifli Sulong yang meramalkan Datuk Zaid Ibrahim bakal menjadi calon PKR dalam pilihan raya Hulu Selangor ini.
-------------------------------------------------------------------

komen PAS Cawangan;

Betul ke Bahagian beri nama Mat Taib? Macam tak percaya kami sedangkan ADUN Hulu Bernam adalah kaki pembelot kepada bekas MB. Sehinggakan bekas MB berkelana di Kelana Jaya. Sehingga Timbalan pun Bahagian tidak menyokong. Tak caya,.... tak caya,..... mungkin G tetap akan bertanding kooooot..........

ZAID BAKAL CALON PKR? - (Sumber HarakahDaily)

Ahad, 28 Mac 2010

Zaid bakal calon PKR?
Zulkifli Sulong



Ketika para pemimpin Barisan Nasional (BN) saling berebut antara satu sama lain siapakah bakal diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, PKR nampaknya memberikan tanda yang jelas dalam majlis mereka malam tadi.


Ia semacam disahkan pula oleh Twitter yang disebarkan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis itu bermula. Ada empat pemimpin PKR yang menyertai majlis perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Stadium Kuala Kubu malam tadi, selain beliau sendiri."Alhamdulillah.. sambutan hangat. Sen SHusin, ybAzmin TSKhalid, ybSiva, DZaid." bunyi Twitter Anwar.


Ekoran itu, nama Datuk Zaid Ibrahim semakin jelas akan menjadi calon PKR dalam pilihan raya kecil ini kerana selain beliau semua pemimpin PKR yang disebutkan sudah menjadi wakil rakyat di samping senator. Datuk Zaid, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dilihat antara tokoh nasional PKR yang perlu kembali ke Dewan Rakyat.


Jika tidak, suara beliau sukar untuk diberi perhatian sewajarnya.Dipihak BN pula, ramai yang menyerang MIC selepas nama timbalan presidennya, Datuk G Palanivel diumumkan bakal menjadi calon BN sekali lagi di situ selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu.


Umno Hulu Selangor sendiri mahukan tokoh veteran Selangor Tan Sri Muhamad Muhd Taib menjadi calon kononnya untuk mengulangi kejayaan mereka dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Bekas MB, Datuk Dr Muhamad Khir Toyo juga membantah cadangan MIC itu.


Menambahkan lagi kecenderungan ke arah itu adalah apabila Datuk Noh Omar dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut dan ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Mohamed Idris Bakar dilantik sebagai timbalannya.Dalam pilihan raya Bagan Pinang, Umno berjaya mengekalkan kerusi itu bahkan berjaya menambahkan undi majoriti apabila bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad diletakkan.


"Jika kita mahu mengembalikan kegemilangan di Bagan Pinang, tokoh veteran Umno perlu diletakkan di sini. Kita yakin, kemenangan mudah bakal dicapai," kata seorang pemimpin Umno Bahagian sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah laman web.


Namun begitu, risiko yang dihadapi Umno adalah 'merampas' kerusi MIC ketika parti yang mewakili kaum India dalam BN itu sedang 'luka'. Sedangkan dalam masa yang sama, 19 peratus pengundi di sini adalah dari kaum India.


Pengundi Melayu adalah kira-kira 53 peratus manakala Cina 28 peratus. Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk G Palanivel tewas kepada kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia semalam akibat barah otak.


Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan memanggil pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari. SPR pula akan bermesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan tarikhnya.Walaupun ia merupakan kerusi majoriti Melayu, tetapi ianya telah diperuntukkan kepada MIC sejak sekian lama. Jika mencari kerusi majoriti India nescaya tidak adalah calon MIC yang dapat bertanding.


G Palanivel menang pada pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi tewas kepada Zainal Abidin pada 2008. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi untuk menang tipis dengan 198 undi. Palanivel pula mendapat 22,979 undi.Pujukan yang dibuat Umno kepada MIC adalah parti itu akan diberikan kerusi lain dalam pilihan raya umum nanti. Tetapi, kerusi manakah itu, belum disebutkan lagi. Ini menyebabkan ramai pemimpin MIC beranggapan ini janji kosong Umno sahaja.


Walaupun tuntutan agar PKR juga meletakkan calon India dalam pilihan raya ini berkumandang juga namun jika PKR terus dengan calon Melayu ia tidak berapa sukar. Ini kerana, kerusi ini dimenangi dalam pilihan raya 2008 lalu melalui calon Melayu iaitu Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Jadi jika Datuk Zaid yang bertanding, ia bakal diterima dengan baik. Tambahan pula, jika Zaid yang terpilih, ia lebih senang kerana dia sangat diterima baik oleh India, Cina maupun Melayu di negara ini.


Zaid pula dikatakan sudah mula 'bekerja' untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini setelah Dr Zainal sekian lama tidak mampu untuk menjalankan tugasnya dengan baik kerana skit barah otak yang dialaminya itu."Walaupun Zaid orang Kelantan tetapi dia sudah lama menjadi 'rakyat Selangor' selepas bekerja dan tinggal di sini sejak sekian lama," kata seorang pemimpin kanan PKR.


Halangan besar beliau dalam memenangi kawasan ini adalah empat kawasan Felda yang ada dalam kawasan Hulu Selangor Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan. Ia bakal menjadi kubu Umno.Namun sejarah 13 tahun lalu di mana ke empat-empat kawasan Felda ini mahu dijadikan zon industri oleh bakal calon Umno kini, iaitu Tan Sri Muhamad, bakal menjadi mimpi ngeri untuk Umno. Sekurang-kurang 70 keluarga kakitangan Felda yang terpaksa bersara awal untuk menyambut kawasan industri itu tentu masih merasa peritnya.


Jika Zaid dan PKR dengan sokongan penuh PAS dan DAP boleh berbuat sesuatu di sini, sudah pasti angan-angan Umno untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai Bagan Pinang kedua bakal meleset.

------------------------------------------------------------------------


Komen PAS Cawangan :


Jika Ya, dalam konteks mikro PAS Cawangan Rasa, kami menyokong dan akan membantu pihak PKR seperti mana kami membantu semasa PRU-12 dahulu. Kami tiada masalah siapa pun calon yang akan bertanding, asalkan Umno BN KALAH!!!!!!!

KERUSI PARLIMEN ADALAH SATU AMANAH

Jumaat, 26 Mac 2010

Malam tadi, kami telah menerima SMS dari rakan PKR pejabat Parlimen, saudara Mustafa, bahawa ahli Parlimen Hulu Selangor, Dato Dr Zainal Abidin telah meninggal dunia jam 9.30mlm.

Kami dari PAS Cawangan ingin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Dato atas kembaliannya kepada Allah yang menciptakan kita semua. Dari Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali.

Semoga roh Allahyarham akan ada bersama-sama dengan roh mereka-mereka yang beriman.

PAS Cawangan juga ingin menambah sedikit, bahawasanya, dengan kematian ini, bukan bermakna akan berakhir penghidupan kita, malah sebenarnya ianya adalah satu permulaan kehidupan yang lain yang lebih lama lagi berbanding dengan kehidupan kita didunia. Dengan berlakunya kematian, maka akan bermulalah hidup simati tadi dialam barzakh sehingga kiamat. Jika kiamat itu akan muncul 500 tahun lagi, maka itulah jangka hayat kita dialam barzakh, sebagai contoh.

Apa yang dibawa dialam barzakh nanti, bukannya harta kita, bukannya anak beranak kita, bukannya pangkat kita, bukannya jawatan kita, tetapi hanya amal dan taqwa selama kita berada didunia ini.

Oleh itu, ingatlah kepada seluruh para pemimpin yang beria-ia merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor yang telah dikosongkan oleh Allahyarham ini. Kerusi parlimen ini adalah sebagai satu amanah Allah kepada hambaNya untuk memimpin rakyat dibawahnya. Amanah yang dipegang ini berat dan susah untuk ditanggung, tetapi memang senang untuk membawa pemegang kerusi ini (ahli Parlimen) untuk masuk ke neraka Allah SWT.

Maka beringatlah, niat untuk menang kerusi bukanlah untuk kepentingan diri, bukan kepentingan hanya untuk kepentingan parti politik, bukan untuk meraih kekayaan dunia yang sementara, malah lebih malang, jika dengan memegang kerusi ini akan menyebabkan pemegang kerusi itu akan ke neraka Allah SWT. Ianya adalah AMANAH ALLAH UNTUK MEMIMPIN MENGIKUT AL-QURAN DAN SUNNAH RASULNYA.

Jangan kita jadi Yahudi dan Nasrani mengambil sikit bahagian Kitab Allah dan buang yang selebihnya. Allah sudah memberi amaran neraka Jahanam kepada mereka yang mengambil Al-Quran sekerat-kerat sebagai rujukan, dan selebihnya dibuang.

Peringatlah wahai para pemimpin dan ahli politik yang sudah berangan untuk bertanding di PRK Hulu Selangor nanti, memegang kuasa adalah satu amanah yang berat, bukannya tangga untuk menjadi kaya.......

MUNGKIN DALAM HATI MEREKA, RAKYAT BODOH DAN PELUPA.

Rabu, 24 Mac 2010

Mungkin dalam hati mereka, rakyat bodoh dan pelupa
Li Fook Gao (Harakah Daily)

Jika rampasan kuasa di Perak tidak menjadi masalah kepada mereka, malah disokongnya, apa pula yang nak dibisingkan pada perancangan 916 yang tidak kesampaian?

Tak apa, rakyat dah bosan dengan isu Perak… mereka pun dah lupa. Itu kita tak rampas, mahkamah yang kata Menteri Besar kita sah…. Itu sahaja rakyat perlu ingat… ala.. mereka ini kalau ingat pun, tak akan ingat lama….

Mengapa mereka begitu percaya pada satu kenyataan pengkhianat amanah rakyat yakni ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang menghebohkan tentang konspirasi 916 yang telah berlalu sekian lama?

Apa pula yang tak percayanya…. Tak kisahlah siapa, asalkan cerita itu daripada orang yang benci Pakatan Rakyat, kita akan percaya. Rakyat bukannya kisah… tengok tak ada reaksi pun…. Lambat-laun mereka lupa jaga Zahrain itu seorang katak….

Mengapa pula mereka tidak pula pergi membuat laporan polis terhadap 8 ahli Parlimen daripada BN yang didakwa akan melompat sekiranya 916 berlaku untuk mengesahkan kesahihan dakwaan pengkhianat rakyat tersebut?

Mereka itu masih duduk dalam BN… kita pentingkan persahabatan. Mereka belum lompat, jadi tak boleh kata mereka ini pengkhianat. Ya, kita tahu 916 itu tak menjadi, tapi masih kena siasat ….kita kena cipta isu supaya rakyat jangan hanya teringat pasal GST, Model Ekonomi Baru, kapal selam tak leh selam, jet engin yang dijuallah…. Oops.. silap bukan dijual.. hilang lah… tu lah. Kita kena kaburkan minda mereka…. Tak susah, mereka tu bodoh…

Dalam isu royalti minyak pula, apabila kehabisan hujah untuk menangkis kenyataan-kenyataan berfakta Tengku Razaleigh Hamzah, ketua mereka mengambil pendekatan untuk melakukan serangan peribadi dengan berkata:

"Masalahnya, hari ini saya melihat Ku Li (Tengku Razaleigh) mungkin mengumpan parti untuk buat sesuatu kepada beliau kerana saya nampak dia tidak akan keluar parti. Dia tidak akan buat kesilapan yang sama dua kali ketika keluar parti dahulu, dia mengumpan kepimpinan parti untuk memecatnya atau dikenakan tindakan kerana mahu dianggap sebagai hero."

Hahahaha… si rakyat mana yang ingat masa Gemilang, Terbilang dan Cemerlang dahulu apa yang berlaku kepada wang ehsan di Terengganu, kan?? Monsoon Cup, Patrick Badawi…. Sshh… sshhh, senyap, jangan ungkit…. Rakyat kan dah lupa pasal kisah aku menantu…

Selepas berudu bertukar menjadi katak-katak, PKR kehilangan majoriti kerusi parlimen dalam Pakatan Rakyat, ketua mereka pula cepat menyibuk dengan berkata:
“Biasanya parti yang paling banyak anggota Parlimen itu yang diberi penghormatan untuk jadi Ketua Pembangkang tetapi sekarang ini mereka masih memberi penghormatan kepada Datuk Seri Anwar. Mungkin mereka terutamanya PAS tak yakin dengan Lim Kit Siang (Anggota Parlimen Ipoh Timur dan veteran DAP), jadi mereka terpaksalah masih lagi memberi sokongan kepada Anwar.”

Rakyat kan bodoh… mereka ini suka berita sensasi… kita besarkan isu, mereka semua akan lupa yang aku ini bukanlah menteri… yalah … aku tahu orang yang aku tewaskan pun dapat jadi Timbalan Menteri… sebab itu aku tak boleh kalah publisiti.. kena reka isu untuk tonjolkan bahawa aku ini lebih berkaliber dalam menghentam PR…. Tu aje..

Baru-baru ini, tanpa sebarang siasatan dijalankan, ketua mereka terus menyuruh rakyat untuk menilai kredibiliti ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan pendedahan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai rancangan “16 Sept” di Parlimen.

Nak siasat apa, asalkan kita mainkan isu ini tiap-tiap hari supaya ia “stick to the mind” pada rakyat… ia akan jadi benar… rakyat kan bodoh, dahlah pelupa…. Kita tak ada hujah nak lawan dalam banyak isu, sebab itulah kita kena jatuhkan imej mereka ke tahap kita… rakyat tak akan perasan… asalkan kita buatkan mereka sama jijik seperti kita, rakyat akan percaya… kan mereka bodoh…

Soalan Cepu Emas:

Sekiranya rakyat betul-betul bijak, beranikah mereka membuat kenyataan-kenyataan seperti di atas tanpa mengambil kira kesan politik terhadap mereka?

Kesimpulannya, terdapat 3 modal politik yang boleh menjamin kemenangan Barisan Nasional pada PRU-13, 1. Kebodohan rakyat, 2. Sikap mudah lupa rakyat dan 3. Pakatan Rakyat membuat kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan.

Sekiranya rakyat dapat menilai prestasi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional secara adil, dan mengelakkan diri sendiri daripada tertipu oleh media arus perdana, percayalah Barisan Nasional akan dapat dikalahkan dengan ketiadaan modal (1) dan (2) jika dan hanya jika tanggapan (3) tidak berlaku.

HIMPUNAN RAKSASA "SELAMATKAN MALAYSIA DI HULU SELANGOR"

Isnin, 22 Mac 2010

DS Anwar Ibrahim di Hulu Selangor
Himpunan Raksasa "Selamatkan Malaysia"

Tarikh : 26 Mac 2010
Masa : 8.00 malam ~ 12.00 tgh malam
Lokasi : Stadium KKB, Kuala Kubu Bahru

Tetamu Jemputan:-

YB Anwar Ibrahim
YB Khalid Ibrahim
YB Dr. Hatta Ramli
YB Saifuddin Nasution
YB Sivarasa

Semua dijemput hadir dan sebarkan!

Anjuran -
Angkatan Muda Keadilan dengan kerjasama
Dewan Pemuda PAS Hulu Selangor
"Anak Muda Geng Kita"

KENAPA RAKYAT PERLU BOSAN DENGAN UMNO

Jumaat, 12 Mac 2010

Kes penderaan kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini menjadi-jadi. Selepas satu kejadian dilaporkan, terdengar satu lagi kejadian. Ia seperti menjadi satu ‘pandemic’ dan trend yang boleh dianggarkan berlaku.

Beberapa cadangan dan pendekatan telah dikemukakan bagi mengatasi gejala penderaan kanak-kanak. Segala saluran dan medium digunakan bagi menunjukkan keseriusan gejala ini hendak dibenteras. Kes penderaan ini telah mencapai tahap pengetahuan maksima, iaitu dibawa ke pengetahuan Kementerian Wanita, Polis, mahkamah malahan akhbar dan media elektronik telah memainkan peranan.

Bermakna umum telah mendapat maklumat terperinci kes-kes kejadian penderaan ke atas kanak-kanak. Akhbar dan televisyen telah menceritakan dan mendedahkan gejala ini. Ditambah dengan arahan baru oleh Kementerian dan pihak berkuasa polis yang mahu dilaporkan kejadian yang serupa sekiranya anda mempunyai maklumat kejadian kes-kes penderaan.

Tetapi, kalau polis tahu, apa polis boleh buat? Mengambil contoh, dalam kejadian Makan Malam Menyambut Ulang Tahun ke-2 Pakatan Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan, bilangan polis yang ramai telah dikerah bertugas di tempat makan malam.

Polis telah mengganggu majlis aman penyokong Pakatan Rakyat yang berhimpun di premis persendirian dan polis juga yang telah memukul beberapa pemuda yang berada di majlis tersebut. Jadi, ini adalah kes penderaan oleh polis.Kerajaan Umno BN juga melakukan beberapa penderaan ke atas rakyat. Kerajaan Umno BN telah menjalankan dan akan mengumumkan beberapa lagi perkara-perkara penderaan ke atas rakyat, kerana memenuhi slogan 'rakyat didahulukan' dalam merasai kesempitan dan penganiayaan.

Dengan menamatkan bantuan kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat adalah satu bentuk penderaan kerajaan kepada rakyat. Menyekat bantuan yang sepatutnya diterima oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat adalah juga penderaan kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri. Yang paling jelas lagi ialah sikap Kerajaan Pusat yang tidak mahu membayar royalti minyak kepada rakyat Kelantan adalah menifestasi penderaan kerajaan Umno BNBn kepada rakyat terbanyak.

Apa yang boleh kita setujui apabila Perdana Menteri Malaysia menyatakan ‘kejadian penderaan ke atas kanak-kanak tanda institusi rumah-tangga rapuh’. Benar ini adalah kesan dari institusi rumah tangga yang rapuh dan penyakit sosial yang ‘pandemic’ dan meruncing seperti barah.

Tetapi kejadian seperti ini ada hubung kaitnya dengan kerajaan. Kehidupan dan tahap sosio-ekonomi rakyat adalah hasil daripada rakyat yang tidak mendapat cukup pembelaan oleh kerajaan. Dikala hendak mencari makan sesuap nasi pun susah bagi golongan yang berpendapatan rendah, ditambah dengan pelbagai cukai yang akan dikenakan Kerajaan kepada rakyat, kesemua ini memberi dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Rasulullah saw pernah bersabda: ‘Rakyat mengikut agama pemimpin’. Apakah ini benar dalam kes penderaan kanak-kanak yang dibunah, rakyat mengikut corak pemikiran dan apa yang dilakukan oleh pemimpin?

Memang bukan jalan penyelesaiannya mendera, menyeksa, menyakiti dan akhirnya membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Tetapi masalah kehidupan yang serba tidak mencukupi boleh mengheret kepada kehidupan tidak tenang dan menyebabkan fikiran terganggu dan lebih teruk lagi mengakibatkan gejala mental yang serius.

Rakyat juga telah bosan dengan pemimpin kerajaan yang turun padang bertemu dan bersalaman dengan rakyat, kemudian dihidangkan makan nasi kawah. Pegang cangkul 3-saat untuk dirakam oleh juru kamera kemudian disiarkan di dalam surat khabar atau televisyen.

Tambah bosan lagi, bila berucap, mengumumkan akan memberi peruntukan yang besar kepada satu-satu kampung. Bertepuk-bersorak orang kampung akan dapat wang besar yang diberi oleh pemimpin UMNO-BN.

Tapi, bila nak dapatnya? Tunggulah pilihanraya, nanti akan diumumkan lagi. Bila!!? Pemimpin ini akan berkata, ‘Itu janji pilihanraya!’.

Mungkin ramai juga yang tidak bosan dengan pemimpin yang sedemikian. Malahan memuji dan mengikut sikap pemimpin. Kerana pemimpin seperti itu adalah buktinya ‘Pemimpin berjiwa rakyat’. Maka sebab itu pemimpin disanjung-sanjung…manalah tahu boleh dapat projek besar. Kerana pemimpin yang berjiwa rakyat akan bersaing dengan rakyat untuk mendapat projek besar, tapi ‘of course’ pemimpinlah dapat.

Hadith Rasulullah saw bersabda mengenai pemimpin: Sebaik-baik pemimpin adalah kamu mengasihi mereka dan mereka (pemimpin) mengasihi kamu. Kamu berdo’a untuk mereka dan mereka mendoakan kamu, dan begitulah sebaliknya.

Adakah ciri ini ada pada pemimpin Umno BN atau ciri ini sesuai untuk kerajaan Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat? Diharap rakyat Malaysia boleh memikirkan hal ini.

Maka, tanggungjawab kerajaan Umno BN yang memerintah adalah memikirkan kebajikan rakyat secara holistik. Kerajaan Umno/Bn mesti memikirkan kebajikan rakyat. Sehingga kini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak masih belum mengumumkan apa-apa hadiah istimewa kepada rakyat terbanyak. Setakat yang berunsur ‘political mileage’ ada.

Berbanding dengan negeri Pakatan Rakyat yang hanya baru 2 tahun memerintah telah mampu mengumumkan beberapa kemudahan dan keistimewaan untuk rakyat di negeri Pakatan Rakyat. Bantuan kebajikan untuk rakyat terbanyak menjadi agenda Kerajaan Pakatan Rakyat. Contohnya: air percuma sebanyak 20 meter padu untuk rakyat Selangor. Berbeza dengan Umno. menswastakan air dan kos ditanggung oleh rakyat.

Maka sudah sampai masanya rakyat menukar kerajaan di negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan yang ada ini dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Tidak kira bila masanya, berlaku sahaja pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, kotakan janji anda, pilihlah Kerajaan Pakatan Rakyat untuk kesejahteraan Malaysia dan rakyat seluruhnya.

* Salbiah Abdul Wahab adalah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat

 
 
 

Mahu maklumat berkenaan tafsir Al-Quran, Sila klik banner dibawah untuk maklumat lanjut