PR PERINTAH: UMNO BN HILANG KUASA, BUKANNYA MELAYU.

Isnin, 27 September 2010

PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu
Mohd Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 26 Sept: Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menerajui pentadbiran negara, maka kuasa Melayu tidak akan hilang, sebaliknya kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan terhapus dari persada politik negara ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa kuasa dan suara Melayu akan hilang sekiranya pembangkang menguasai kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir dan PAS Kawasan Permatang Pauh di Permatang Pasir, semalam.

Menurutnya, adalah tidak munasabah dakwaan yang dikeluarkan oleh Mahathir sebagai seorang yang telah lama memegang tampuk pemerintahan negara terhadap PR.

"Beliau harus mengkaji sejarah yang dekat dengan kita. Dalam negara sendiri contoh yang ada di depan mata boleh digunakan sebagai fakta. Di negeri Kelantan contohnya yang hilang kuasa adalah Umno dan BN apabila PAS memerintah negeri tersebut lebih dari 20 tahun.

"Begitu juga dengan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kuasa Melayu dan suara Melayu tidak hilang. Hanya yang hilang ialah kuasa dan suara Umno serta BN yang selama ini tidak pernah mengakui kekalahan mereka," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mahathir sepatutnya tidak lagi diberi perhatian kerana tidak bersandarkan kepada fakta yang sebenar.

Tambahnya lagi, kuasa Umno dan BN itu yang dianggap sebagai kuasa dan suara Melayu adalah satu pandangan yang meleset dan mengelirukan rakyat.

"Pada anggapan mereka kuasa Umno itu adalah Melayu dan kuasa Melayu itu adalah Umno, sedangkan PAS adalah lebih kemelayuannya jika mahu dibandingkan dengan Umno.

"Dakwaan beliau yang menyifatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai alat kepada DAP juga adalah prejudis yang buruk terhadap kepimpinan PR. Beliau harus sedar sejauh mana laungan dan jeritan untuk memenangkan Umno dan BN tidak akan merubah pendirian rakyat bahawa kuasa yang ada pada BN di Perak adalah kuasa yang tidak halal setelah rakyat menolak mereka dengan kertas undi dalam pilihan raya 2008 yang lalu," tegasnya lagi.

Kelas Fardu Ain, Al-Quran Peringkat Menengah

Jumaat, 24 September 2010



Oleh Zainal A Shamsudin
SHAH ALAM, 22 SEPT- Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) sedang membuat pilot projek ‘Kelas Fardu Ain dan Al-Quran (KAFA) untuk Pelajar Sekolah Menengah’ bagi memenuhi keperluan agama bagi pelajar sekolah menengah yang mempunyai masa terluang selepas waktu sekolah serta membina jati diri yang lebih kukuh.


Exco Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata, ia bertujuan untuk memenuhi waktu petang pelajar-pelajar dengan perkara positif serta berfaedah serta mengelak daripada terjebak dengan gejala sosial.

“Belajar agama di sekolah rendah selama enam tahun tidak mencukupi untuk menjadi benteng kuat untuk pelajar menghadapi dunia luar yang sangat mencabar dengan pelbagai gejala sosial,” katanya.

Menurut Dr Halimah, buat masa ini Kerajaan Pakatan akan membantu penduduk setempat menubuhkan KAFA di sekolah, sementara sekolah-sekolah yang menyediakan pendidikan secara holistik disiapkan oleh Kerajaan Pusat.

“Memang sekolah yang mempunyai silibus(sukatan) yang holistik dan ada akademik serta diniah agak terhad. Sekolah agama itu sendiri memang ada menyediakan pendidikan yang menyeluruh tetapi tidak cukup untuk menampung permintaan masyarakat Islam sekarang yang lebih gemar meletakkan anak-anak mereka di dalam sekolah yang mana kokurikulumnya adalah bersepadu.


Buat masa ini hanya sekolah rendah agama integrasi menyediakan pendidikan secara holistik.
“Selangor mahu melahirkan satu sistem pendidikan yang akan dijadikan satu role model kepada insan-insan yang akan mendatang dan melahirkan seramai mungkin umat Islam yang mempunyai asas yang kukuh mengenai agama,” tambah beliau.

Menurut beliau lagi, intelektual Islam boleh dilahirkan apabila pendidikan awal Islam adalah dari segi penghafalan al-Quran serta tasauf itu itu sendiri diberi pada pendidikan peringkat awal.

Kerajaan Persekutuan Lepas Tangan Perbaiki Jalan : Hasan Ali

Khamis, 23 September 2010


SHAH ALAM, 20 Sept – Kerajaan Persekutuan didakwa lepas tangan untuk memperbaiki jalan di negeri ini. Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap dan Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohammad Ali.
Hasan berkata, dalam banyak perkara, Kerajaan Pusat dilihat tidak berminat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor.

“Kalau dulu sebahagian jalan persekutuan itu dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan, begitu juga jalan luar bandar dikendalikan Kementerian Luar Bandar, tetapi sekarang seolah-olah mereka tinggalkan, minta kerajaan negeri lakukan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Dr Hasan sudah memperolehi senarai jalan raya seluruh Selangor yang perlu dibaik pulih serta diselenggara.

Menurutnya lagi, melalui pertemuan dengan beberapa pihak berkaitan, beliau berjaya mengumpulkan semua maklumat mengenai jalan-jalan seperti di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jalan bandar, di luar bandar dan sebagainya.

Beliau kini sedang dalam perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta beberapa jabatan dalam usaha menentukan senarai keutamaan yang perlu dilaksanakan.
“Saya sudah minta peruntukan bajet tambahan yang baru dibentangkan dipersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), melalui peruntukan itu diharapkan pembaikan-pembaikan jalan dapat dilakukan.

“Saya akan membuat senarai penuh tahun depan apabila mengemukakan bajet tahun 2011. Insya-Allah saya rasa kita akan dapat satu peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membaiki jalan yang rosak dan juga menyelenggarakan jalan tersebut dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, anggaran kasar mengikut daerah adalah berdasarkan keperluannya seberapa banyak jalan yang memerlukan pembaikan serta penyelenggaraan.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat sedikit kelemahan dari segi penyelenggaraan, pembaikan jalan dan sebagainya, tetapi ini hanya bersifat sementara sahaja, iaitu sementara kerajaan negeri dapat membuat penyelarasan dengan kerajaan pusat dan sebagainya.
“Jadi dalam proses penyelarasan ini, maka timbullah benda-benda yang pernah dilakukan Kerajaan Pusat tidak dapat dilakukan oleh kerajaan negeri kerana kita tidak dapat melakukan bajet sebab atas dasar ia dilaksanakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

 
 
 

Mahu maklumat berkenaan tafsir Al-Quran, Sila klik banner dibawah untuk maklumat lanjut